IPOH: IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memantau cubaan oleh mana-mana individu atau pihak yang membuat tular kononnya berlaku kebocoran kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata semua tindakan yang tidak betul akan dipantau dan sekiranya dibuktikan berlaku, mereka akan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.
“Isu reseat (menduduki semula peperiksaan) tidak wujud seperti saya katakan iaitu dakwaan (kebocoran) adalah tidak benar. Kepada para pelajar, jangan bimbang sebaliknya fokus kepada kertas-kertas yang akan datang dan buat yang terbaik,” katanya sewaktu ditemui hadir ke program sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet di sini semalam.
KPM semalam menafikan dakwaan berlaku kebocoran kertas peperiksaan mata pelajaran Sejarah SPM 2024 dan tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.
Kah Woh berkata, para pelajar tidak perlu bimbang sebaliknya memberi tumpuan sepanjang musim peperiksaan ini.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dan bertanggungjawab dengan tidak membuat penyebaran palsu.
Sementara itu, Kah Woh berpuashati apabila inisiatif Baucar Buku MADANI diumumkan Mei tahun lalu berjaya mencapai sasaran penebusan 100 peratus.
Katanya, pencapaian itu bukan sahaja dapat mengalakkan sikap membaca dalam kalangan pelajar, tetapi turut memberi suntikan positif kepada penerbit dan penulis buku. – UTUSAN