KPM nafi kertas Sejarah SPM 2024 bocor 

KPM nafi kertas Sejarah SPM 2024 bocor 

KPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan berlaku kebocoran bagi kertas peperiksaan Sejarah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

KPM menerusi satu kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan berkenaan perkara itu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Katanya, tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan sebagai topik ramalan.

“Tiada soalan kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan.

“Jadi, dakwaan ini tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan, KPM,” katanya.

KPM berkata, siasatan terperinci telah selesai dijalankan dengan turut mengambil kira semua sebaran dan tangkap layar berkaitan yang tular di laman media sosial.

“Sehubungan itu, semua calon peperiksaan SPM dinasihatkan kekal tenang dan fokus dalam menghadapi peperiksaan.

“KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN