PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan berlaku kebocoran kertas peperiksaan Sejarah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024.
Menurut KPM, siasatab terperinci telah selesai dijalankan dengan turut mengambil kira semua sebaran dan tangkap layar berkaitan yang tular di laman media sosial.
“KPM mendapati bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas.
“Tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM memberitahu, tiada sebarang soalan dalam kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan.
Justeru, jelasnya, dakwaan ini tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan, KPM.
“Semua calon peperiksaan SPM dinasihatkan untuk kekal tenang dan fokus dalam menghadapi peperiksaan.
“KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara
dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah terjamin,” katanya. – UTUSAN