TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menambah lima barangan keperluan kritikal sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina tahun ini berkuatkuasa pada 25 Januari hingga 2 Februari ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, lima barangan keperluan tambahan itu ialah cili merah, bawang kuning besar, bawang merah besar import dan sawi pendek bagi jualan di Semenanjung.
“Bagi kepak ayam pula Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja. Pelaksanaan skim SHMMP ini berlangsung selama sembilan hari.
“Berbanding tahun lalu, kita dapat meningkatkan lima barangan kepada 16 berbanding 11 sebelum ini yang akan dikuatkuasakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Pelancaran Program Jualan Rahmah Madani dan Pengumuman (SHMMP) Tahun Baharu Cina di Pasar Raya Lotus Teluk Intan di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd. Sayuthi Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong dan Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.
Sebanyak 11 barangan lain yang tertakluk pada SHMMP Tahun Baharu Cina ini ialah ikan bawal putih, udang putih, kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih dan halia tua import.
Selain itu, lobak merah, lobak putih, babi hidup, daging babi bahagian perut, daging dan lemak.
Armizan berkata, pertambahan barangan keperluan itu hasil perbincangan mereka dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan pihak industri.
Beliau berkata, situasi menang-menang telah dicapai dengan semua pihak tidak mengira pengeluar, peruncit dan pengguna mendapat manfaatnya.
“Kita bantu rakyat dan dalam masa tidak membebankan masyarakat lain termasuk peniaga.
“KPDN tidak bertindak sesuka hati dan memastikan semua peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit ada margin keuntungan yang wajar,” katanya. – UTUSAN