PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup membongkar kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) di sebuah kedai runcit Taman Sri Rampai dekat sini, Selasa lalu.
Dalam serbuan kira-kira 1 petang itu, pihak KPDN turut menyita 205 tong LPG dianggarkan bernilai RM 23,930.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md. Anuar berkata, sebanyak 85 tong berisi LPG kapasiti 12 kilogram (kg) dan 120 tong berisi LPG 14 kg yang dianggarkan bernilai RM23,930 ditemukan di premis terbabit dalam serbuan pada 1 petang itu.
Katanya, premis perniagaan ini didapati memiliki 2,700 kg lebihan had simpanan LPG yang dibenarkan dalam lesen runcit barang kawalan (LPG) yang masih sah sehingga 25 Oktober 2025.
“Lebihan had simpanan LPG ini telah disita oleh pasukan penguat kuasa KPDN dan akan disiasat di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati pemegang lesen runcit terbabit mempunyai beberapa rekod kesalahan lain di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penelitian terperinci akan dibuat ke atas semua rekod kesalahan pemegang lesen runcit barang kawalan (LPG) terbabit.
“Pengesyoran sewajarnya akan dibuat kepada Pengawal Bekalan serta siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.– UTUSAN