BUKIT MERTAJAM : Sebanyak 572 unit barangan elektrik yang dipercayai tiruan dirampas dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di sebuah gudang di sini, pagi tadi.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, dalam serbuan itu, seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan umur 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan tersebut.
Terdahulu katanya, serbuan itu dilakukan susulan aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang mencurigai kewujudan aktiviti penjualan barangan tiruan di premis terbabit.
“Antara barangan elektrik yang ditemukan termasuk pengisar, pengering rambut, pelurus rambut, pencukur, berus gigi elektrik serta pelbagai barangan lain yang disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
“Semua barangan itu bersama beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan telah disita untuk tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM27,279,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil soal siasat yang dijalankan terhadap wanita itu mendapati, aktiviti penjualan barangan elektrik tiruan tersebut aktif sejak enam bulan yang lalu.
“Pemilik sebenar semua barangan terbabit adalah seorang warga China yang menjalankan perniagaan secara atas talian iaitu menerusi laman TikTok manakala wanita tersebut hanya ditugaskan menjaga gudang berkenaan sahaja dan dibayar gaji untuk tujuan itu,” kata beliau.
Sementara itu, Jegan mengingatkan semua pihak sama ada individu atau syarikat agar tidak terlibat dengan kegiatan menjual atau membeli barangan yang tidak mendapat kelulusan serta kebenaran daripada pemilik cap dagangan berdaftar yang sah.
Katanya, dalam hal ini, aktiviti tersebut boleh dianggap sebagai satu kesalahan yang serius di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
“Pada masa yang sama, pengguna juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong sebarang aktiviti penjualan barangan tiruan kerana ia dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara selain mengancam keselamatan pengguna itu sendiri,” ujar beliau.-UTUSAN