KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tegas kepada peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sepanjang musim perayaan.
Ia sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 yang bermula hari ini hingga 2 Februari depan.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pemantauan ini adalah sebahagian usaha memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sepanjang musim perayaan.
Katanya, pelaksanaan SHMMP merangkumi empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan, dan empat hari selepas perayaan, menjadikan tempoh keseluruhannya sembilan hari.
“KPDN komited menangani kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga khususnya barangan keperluan perayaan.
SHMMP juga bertujuan melindungi kebajikan rakyat, terutama golongan B40 dan M40, sama ada di bandar mahupun luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Lawatan Sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perasan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025, di sini hari ini.
Fuziah berkata, skim kali ini mengenal pasti 16 jenis barangan kawalan berbanding 11 pada tahun lalu.
Antara barangan yang dikawal ialah ikan bawal putih, cili merah, bawang putih, kobis bulat import serta beberapa jenis daging babi dan sayur-sayuran.
Fuziah berkata, pendekatan ini selari dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk menggalakkan peniaga menawarkan harga lebih rendah jika kos barangan diperoleh lebih murah.
“KPDN juga menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan pengeluaran makanan serta mengurangkan kos pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata, penguat kuasa KPDN ditempatkan di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan.
“Kami mengingatkan peniaga agar menggunakan label merah jambu bagi barangan kawalan.
“Mana-mana pihak yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara tiga tahun bagi individu.
“Orang ramai turut digalakkan menyalurkan aduan kepada KPDN melalui kempen KITA GEMPUR jika terdapat peniaga yang tidak mematuhi peraturan,” katanya. – UTUSAN