SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited lebih agresif meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi mengekang isu ketirisan minyak masak peket bersubsidi.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya menjalankan pemantauan berterusan ke atas bahan itu yang merupakan antara komponen dalam Op Tiris dan Kita Gempur KPDN.
Jelas beliau, kerjasama turut dijalin bersama sektor peruncitan iaitu pihak yang berurusan secara langsung dengan pengguna termasuk warga asing.
“Kita (KPDN) ketika ini perlu melihat konteks penguatkuasaan sebelum mengeluarkan arahan (mekanisme pembelian) secara menyeluruh.
“Tahun ini kita akan bertindak lebih agresif daripada aspek peraturannya termasuk syor penjualan minyak masak peket kepada warga asing adalah dilarang,” katanya selepas merasmikan penutupan Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Utusan Malaysia pada 19 November lalu melaporkan kerajaan digesa memperkenalkan mekanisme kawalan pembelian minyak masak peket bersubsidi lebih kukuh bagi memastikan ia sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Mengulas lanjut, kata Armizan, pihaknya amat mengharapkan kerjasama semua pihak supaya menyalurkan maklumat kepada KPDN berkaitan ketirisan tersebut.
“Kita mahu mereka tampil ke hadapan bagi membuat aduan yang boleh membantu proses siasatan. Sebarang maklumat atau aduan yang diterima dijamin akan segera disusun dan diatur gerak oleh pasukan penguatkuasaan KPDN,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya yakin kesan ketirisan minyak paket itu dapat dikurangkan dan subsidi kerajaan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya rakyat negara ini.-UTUSAN