PETALING JAYA: Pembangunan semula Gaza dijangka menelan kos melebihi RM4.5 trilion selepas negara tersebut hampir musnah akibat kerakusan rejim Zionis Israel sejak Oktober 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih dari AS$1 trilion diperlukan kerana kemudahan-kemudahan asas di Gaza seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah sudah musnah sejak genosid berlaku.
“Ada yang anggarkan kos sebanyak AS$1 trilion,” kata beliau dalam sidang akhbar bersama media Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke United Kingdom menurut Bernama.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Jepun sudah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Jelasnya, persidangan tersebut akan memberi fokus pada pembangunan semula Gaza.
Beberapa hari lepas, Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula Ahad ini untuk menghentikan perang selama 15 bulan di Gaza.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani, berkata perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Difahamkan fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari, melibatkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.
Malah, Kabinet Israel hari ini meluluskan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan dengan Hamas, kata pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu seperti laporan laman berita Wion News.
Perjanjian berkuatkuasa esok itu dimuktamadkan selepas mesyuarat Kabinet selama enam jam. – UTUSAN