IPOH: Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat kes pukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu.
Dalam satu kenyataan, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk memastikan mereka yang terlibat dalam kes tersebut diambil tindakan undang-undang dengan segera.
“Tindakan yang mengejutkan ini menghakis nilai-nilai kasih sayang dan keharmonian yang sepatutnya dijulang dalam masyarakat berbilang kaum kita.
“Saya menyeru pihak berkuasa bertindak tanpa berlengah dan memastikan mereka yang terlibat menerima hukuman yang setimpal dengan undang-undang,” katanya.
Menurutnya, kejadian tersebut telah dirakam dalam video dan tular dalam media sosial, yang menunjukkan seorang lelaki OKU diserang dan diheret oleh beberapa individu.
“Kita mesti memastikan golongan OKU dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan dan jenayah kekerasan,” katanya. – UTUSAN