SEOUL: Pelakon popular Squid Game musim kedua, Park Sung Hoon, mengumumkan pengundurannya daripada projek drama The Tyrant’s Chef.
Pengunduran itu dibuat selepas mengambil kira desakan dan protes orang ramai terhadap hantaran poster filem lucah parodi Squid Game yang tidak sengaja dimuat naik pelakon itu bulan lalu.
Walaupun hantaran itu dipadam seminit selepas dimuat naik, ia memberi kesan yang sangat buruk terhadap pelakon itu apabila kehilangan projek drama romantis pertamanya sebagai watak utama, The Tyrant’s Chef.
“Selepas perbincangan yang sangat panjang antara pihak produksi dan wakil Park Sung Hoon, keputusan akhirnya dibuat.
“Park dan agensinya sudah berkali-kali meminta maaf namun kami berpendapat, sukar bagi Park Sung Hoon untuk terlibat dalam projek ini. Kami memilih untuk membawa haluan masing-masing,” tulis kenyataan yang dibuat oleh pihak produksi, Studio Dragon pada Sabtu.
Bagaimanapun, pelakon terbaharu yang bakal menggantikan Park masih belum diumumkan pihak produksi menyebabkan jadual untuk sesi pembacaan skrip terpaksa ditunda.
Terdahulu, Park sepatutnya membawakan watak utama bergandingan pelakon popular dan penyanyi SNSD, YoonA sebagai heroin.
The Tyrant’s Chef mengisahkan tentang seorang chef yang pergi ke zaman dahulu dan bertemu dengan seorang raja yang mencintai makanan. -UTUSAN