Kontraktor ladang didakwa tipu pelaburan tidak wujud

Kontraktor ladang didakwa tipu pelaburan tidak wujud

SYED Zulkhairi Zainuddin (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas enam pertuduhan menipu pelaburan tidak wujud dan menyalahgunakan harta milik seorang lelaki dengan nilai keseluruhan RM116,000 pada awal tahun lalu.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang kontraktor ladang didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas enam pertuduhan menipu berkenaan pelaburan tidak wujud dan menyalahgunakan harta milik seorang lelaki dengan nilai keseluruhan RM116,000, awal tahun lalu.

Tertuduh, Syed Zulkhairi Zainuddin, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.

Mengikut tiga pertuduhan, Syed Zulkhairi didapati menipu seorang lelaki berusia 46 tahun dengan memperdayakannya supaya melabur dalam pelaburan tidak wujud dan dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM40,000 ke dalam akaun bank atas nama dua individu.

Tertuduh turut didakwa menyalahgunakan suatu harta milik mangsa sama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM76,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama dua individu untuk kegunaan sendiri.

Semua kesalahan itu dilakukan antara 26 hingga 31 Januari 2024 di Taman Pulai Impian, Sikamat di sini dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzati Mohd. Zainal menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam, Mohd. Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan menanggung isteri dan tiga orang anak berusia enam hingga 12 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kesemua enam pertuduhan dan sebutan semula pada 4 Februari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya