ISKANDAR PUTERI: Kontraktor kelas G1 di negara ini sedang berdepan isu kekurangan projek ekoran peningkatan jumlah kontraktor kelas sama di seluruh negara, ketika ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan sehubungan itu berkata, projek-projek melibatkan agensi kerajaan akan dipecahkan bagi membolehkan golongan yang terbabit melaksanakan projek bersesuai.
Menurut beliau, ini termasuklah kerja-kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh negara melibatkan peruntukan berjumlah RM450 juta, tahun ini.
“Ketika ini terdapat sebanyak 67,300 kontraktor kelas G1 yang dahulunya dikenali sebagai kelas F, daripada jumlah tersebut 49,162 daripadanya bertaraf bumiputera.
“Isu dihadapi mereka ketika ini adalah kekurangan peluang kerja ekoran tawaran projek semakin berkurang sementara jumlah kontraktor aktif meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) Malaysia Cawangan Negeri Johor di sini hari ini.
Tambah Ahmad, cadangan memecahkan projek besar kepada projek-projek kecil akan membolehkan kontraktor ini mendapat peluang perniagaan sekali gus memastikan kedudukan ekonomi masing-masing stabil.
“Selain itu, Kementerian Kerja Raya akan terus mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan melalui dua kaedah, sama ada menggunakan peruntukan dalaman atau mendapatkan peruntukan tambahan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan peruntukan kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan tahun melibatkan peruntukan RM450 juta tahun ini akan diberi kepada kontraktor kelas G1 hingga G4. – UTUSAN