PETALING JAYA: Polis telah merakam 49 individu setakat ini bagi membantu siasatan kes kematian empat pengunjung konsert Pinkish sempena ambang tahun baharu di Bandar Sunway dekat sini pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, buat masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes terbabit.
“Kita masih menunggu untuk mengambil keterangan dua lagi individu yang masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini stabil.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan rujuk ke Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan selesai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan siasatan polis kini bertumpu kepada aktiviti penjualan dadah jenis ekstasi yang dipercayai berlaku di luar dan dalam premis ketika berlangsungnya konsert itu.
1 Januari lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan empat individu tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita meninggal dunia selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu.
Hussein dilapor berkata, mereka antara tujuh pengunjung yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami beberapa simptom sama selepas menghadiri konsert.
“Siasatan awal mendapat kesemua individu terbabit dikesan mengambil pil ekstasi pada hari kejadian.
“Pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.- UTUSAN