PETALING JAYA: Laporan analisis toksikologi tujuh individu yang menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway di sini, pada 31 Disember lalu disahkan mengandungi kandungan dadah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kimia minggu lalu.
Katanya, darah kesemua mangsa mengandungi kandungan dadah dan ia dirujuk ke pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan laporan penuh.
Menurutnya, setakat ini, pihak polis sudah merakam keterangan seramai 52 orang saksi.
“Status seorang lagi mangsa lelaki berusia 30 tahun di PPUM masih belum diambil keterangan dan menunggu kebenaran dari pihak PPUM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, polis sudah merakam keterangan seorang individu yang dirawat di PPUM bagi membantu siasatan kes kematian empat pengunjung konsert ambang tahun baharu.
Wan Azlan dilaporkan berkata, individu berkenaan yang sebelum ini menerima rawatan di PPUM sudah dibenarkan pulang dan keterangannya diambil pada 8 Januari lalu.
Pada 1 Januari lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan empat individu tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita meninggal dunia selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu.
Hussein dilapor berkata, mereka antara tujuh pengunjung yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami beberapa simptom sama selepas menghadiri konsert.
“Siasatan awal mendapat kesemua individu terbabit dikesan mengambil pil ekstasi pada hari kejadian. – UTUSAN