SEOUL: Gara-gara memuat naik kandungan lucah parodi drama Squid Game, pelakon, Park Sung Hoon didesak untuk tidak meneruskan tawaran lakonan bersama, YoonA.
Park sepatutnya menyandang watak utama untuk pertama kali dalam genre romantis bersama pelakon popular, YoonA menerusi drama A Tyrant’s Chef yang diumumkan pada September lalu.
Bagaimanapun, sejak kontroversi kandungan lucah tersebut, Park menerima kecaman hebat oleh warganet yang turut mendesak agak produksi drama berkenaan menggugurkan Park daripada terlibat dalam projek tersebut.
Bukan itu sahaja, peminat YoonA juga mencadangkan agar produksi berkenaan melakukan sesi ujibakat sekali lagi bagi mencari hero lain bagi karakter tersebut.
Walaupun begitu, agensi bakat Park, BH Entertainment telah mengeluarkan permohonan maaf dan menjelaskan bahawa Park tidak sengaja memuat naik gambar lucah tersebut ketika sedang ralit membaca lambakan mesej yang diterima.
“Park Sung Hoom terima banyak sangat mesej dan tidak sengaja memuat naik gambar tersebut. Dia sendiri turut terkejut dan rasa bersalah.
“Dia juga berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” tulis kenyataan tersebut.
Terdahulu, sejak Squid Game musim kedua menemui penonton minggu lalu, Park menjadi sorotan apabila lakonannya dalam drama berkenaan meraih pujian penonton dan pengarah.
Tidak lama selepas itu, Park mengejutkan peminat apabila memuat naik sebuah poster lucah parodi drama Squid Game di Instagram Story rasminya. -UTUSAN