NIBONG TEBAL : Batu Kawan akan dijadikan bandar sukan Pulau Pinang pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pada masa yang sama, status baharu itu juga akan membolehkan Pulau Pinang terus dikenali sebagai destinasi pilihan bagi sebarang penganjuran aktiviti sukan yang berprestij.
“Kita (kerajaan negeri) sudah memanggil satu tender untuk membangunkan ‘Sport City’ (Bandar Sukan) di Batu Kawan ini termasuk di Stadium Negeri (Batu Kawan) dan kawasan sekelilingnya seperti kawasan litar lumba.
“Selain itu, kemudahan lain yang termasuk dalam cadangan untuk dibina (sebagai sebuah bandar sukan) ialah pusat akuatik renang, akademi serta komponen komersial yang berkaitan,” katanya ketika Majlis Perasmian Nibong Tebal Arena di sini, hari ini.
Tambah beliau, walaupun rancangan pembangunan bandar sukan itu masih di peringkat awal, namun, perbincangan lanjut akan diadakan sebelum pelawaan cadangan (RFP) berkaitan projek itu dihantar ke peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan agenda pembangunan di Seberang Perai kerana masa depan Pulau Pinang juga melibatkan kawasan terbabit.
“Sebagai contoh, kita telah membina SP Arena (kompleks sukan serbaguna) di Seberang Jaya dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Butterworth Arena di kawasan Seberang Perai Utara (SPU).
“Maka, untuk SPS (Seberang Perai Selatan) khususnya di Nibong Tebal juga kita rasakan patut ada satu arena yang sama juga (Nibong Tebal Arena),” katanya.
Terdahulu, majlis pecah tanah untuk projek pembangunan Nibong Tebal Arena telah dilakukan sendiri oleh Kon Yeow pada 12 Julai 2022 di atas tanah berkeluasan kira-kira 0.7 hektar iaitu di atas bekas tapak kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jawi, di sini.
Kompleks bernilai RM8.8 juta itu dilengkapi sembilan buah gelanggang badminton, beberapa buah kemudahan tempat duduk boleh laras atau ‘retractable seatings’, pejabat, dewan, bilik tinjau serta beberapa kemudahan lain.-UTUSAN