KUALA LUMPUR: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa susulan kes perbicaraan warga Israel, Avitan Shalom berkaitan senjata api dan peluru, Mac tahun lalu.
Perbicaraan hari pertama kes itu dijangka bermula pukul 10 pagi ini dan para pengamal media dikehendaki mendapatkan pas kebenaran bagi mengikuti prosiding itu.
Selain itu, hampir 200 anggota polis turut ditugaskan untut mengawal ketat laluan masuk utama bagi memastikan keadaan terkawal serta mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.
Pada 27 Mac 2024, lelaki warga Israel itu ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada 8 April lalu, suri rumah, Sharifah Faraha Syed Husin dan suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin didakwa di Mahkamah Sesyen Klang berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.
Mereka sebelum ini ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu kerana disyaki menjual enam senjata api kepada lelaki Israel itu. – UTUSAN