KUANTAN: Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang (Kombes Pahang) yang mula dinaik taraf dan dibina baharu pada Mac 2021 dijangka dibuka kepada orang awam September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerja-kerja menaik taraf dan pembinaan baharu kompleks itu kini mencapai lebih 72 peratus.
Katanya, pembinaan projek yang menelan kos lebih RM24 juta dengan keluasan 4.5 hektar itu dijadual siap sepenuhnya pada Jun ini.
“Kompleks ini memberi manfaat yang besar kepada rakyat Pahang khususnya orang muda untuk melakukan aktiviti dengan pelbagai kemudahan disediakan di kompleks ini.
“Saya harap kita dapat melahirkan lebih ramai atlet sukan berbakat bagi negeri ini dan pada masa sama menjadi pusat kegiatan serta aktiviti belia untuk Pahang. Ia akan menjadi satu mercu tanda baharu kepada negeri ini apabila siap nanti,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di kompleks itu, di sini hari ini.
Menurut Fadzli, pergerakan menaik taraf dan pembinaan baharu berada di landasan yang ditetapkan yang mana permasalahan yang timbul telah berjaya diselesaikan.
“Cuma terdapat sedikit isu berkaitan sambungan pembentungan melibatkan IWK (Indah Water Konsurtium Sdn. Bhd.) yang mana kita sudah minta untuk berikan keutamaan kepada penyambungan pembentungan ini,” ujarnya. – UTUSAN