SEPANG: Sepantas empat saat. Itu tempoh masa diambil Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menggunakan kod Respons Pantas (QR) sistem pelepasan imigresen khusus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Saifuddin sempat mengguna pakai sistem QR itu sebelum berlepas ke Abu Dhabi, bagi menyertai lawatan rasmi bersama Perdana Menteri pagi ini.
Menurutnya, sistem pelepasan terbaharu itu buat masa ini diperkenalkan khusus buat rakyat Malaysia sahaja sebelum diperluaskan kepada warganegara lain pada masa depan.
“Sehingga kini, 400,000 rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi MyBorderPass bagi memudahkan penggunaan sistem pelepasan kod QR itu.
“Pengguna hanya perlu log masuk, dan sistem ini membolehkan pelepasan dilakukan dalam masa 60 saat (secara purata 4 saat),” katanya selepas meninjau operasi kod QR MyBorderPass dan Sistem Smart Q di KLIA, hari ini.
Katanya, buat masa ini, sebanyak 40 unit autogate kod QR dipasang membabitkan 20 unit di KLIA1 dan 20 di KLIA2 bagi ketibaan dan pelepasan dengan kos keseluruhan pemasangan adalah RM19.2 juta.
Saifuddin berkata, setakat ini, purata penggunaan harian kod QR itu adalah 10,000 pengguna sejak dilancarkan 1 Januari lalu.
Menurutnya, jumlah penggunaan keseluruhan yang direkodkan setakat ini adalah 55,000 pengguna dalam tempoh 11 hari pertama sejak 1 Januari lalu.
Mengulas lanjut, katanya, sempena
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, sistem itu juga akan diperluaskan kepada perwakilan ASEAN terutama yang hadir bagi 400 mesyuarat berkaitan.
Selain itu, katanya, sistem itu kelak akan diperluaskan kepada pelancong dari ASEAN tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sistem sama juga akan diperkenalkan ke lapangan terbang antarabangsa lain seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, dan Langkawi,” katanya.
Sistem baharu berasaskan kod QR itu bertujuan mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen, khususnya di KLIA sebagai usaha mengurangkan kesesakan.
Sistem itu akan membolehkan pengembara mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka. – UTUSAN