KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan seramai 10 lelaki warga Bangladesh yang menyamar sebagai doktor palsu dalam serbuan di 10 klinik di sekitar ibu negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pukul 11.45 pagi itu dijalankan pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Operasi Khas di 10 lokasi sekitar Kuala Lumpur iaitu enam lokasi di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua lokasi di Lebuh Pudu manakala satu di Jalan Silang semalam.
Menurutnya, operasi terbabit dijalankan oleh sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai dari Bahagian Penguatkuasa (Farmasi) Kementerian Kesihatan Malaysia Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi premis perniagaan dan berjaya menahan 10 orang lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 31 hingga 50 tahun.
“Hasil semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua orangtinggal lebih masa manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi terbabit turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Jafri Embok Taha, Pengarah Bahagian Perisikan Dan Operasi Khas, Mohamad Anas Mohamad Dzarib, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM Mohd ZawawiAbdullah dan Timbalan Pengarah, Cawangan Perisikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM Mohd. Azaruddin Jais.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warga Bangladesh yang tidak bertauliah dan mensasarkan warganegara itu sahaja.
Jelasnya, ubat-ubatan yang dijual tidak berdaftar dan tanpa kelulusan KKM yang dibawa masuk oleh warganegara Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.
“Kegiatan ini berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan warganegara Bangladesh dan dipercayai telah beroperasi selama satu tahun,” katanya.
Beliau berkata, pihak Imigresen turut merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai RM800 dipercayai adalah hasil rawatan dan jualan ubat.
“Pihak KKM juga merampas sebanyak 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,192.00.
“Warganegara asing ini juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952, Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan bahan Psikotropik) 1989, dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
Tambahnya, kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Dua lelaki warganegara Bangladesh dan enam wanita tempatan diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN