HARIMAU jadian ditakrifkan benar-benar wujud satu masa lalu berdasarkan catatan Residen British di Pahang, Hugh Clifford pada abad ke-19.
Rekod peristiwa di Sungai Tembeling, Pahang sekitar tahun 1860-an itu menarik minat pengarah, Fazli Yasin untuk mengupas tentang kejadian mistik itu dalam filem arahan terbaharunya, Limbungan: Tragedi Hitam 1975.
Jalan cerita filem ini adalah fiksyen, namun diinspirasikan daripada kisah benar. Justeru, Fazli menggalas tanggungjawab yang besar dalam menginterpretasikan cerita filem ini kerana harimau jadian benar-benar wujud di Tanah Melayu.
Dalam sidang media yang diadakan baru-baru ini, Fazli berkongsi kepada media faktor yang menarik minatnya untuk menceritakan mengenai harimau jadian dalam filem.
Katanya, selain menyajikan cerita yang berlainan kepada penonton, kisah tersebut seharusnya diceritakan kepada generasi hari ini.
“Masyarakat kita mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa harimau jadian ini benar-benar wujud. Ia masih dianggap mitos, sedangkan ada kajian dan rekod kewujudannya di sebuah perkampungan di Pahang.
“Malah dalam rekod yang ditemukan, jelas menceritakan mengenai ‘selera’ harimau jadian ini yang dahagakan darah dan bukan pemakan daging manusia. Ini berdasarkan catatan mengenai serangan harimau itu yang membunuh tujuh sekeluarga.
“Pada saya cerita ini menarik. Kerana itu, merujuk kepada catatan-catatan berkenaan, saya olah sebuah cerita mengenai kampung Limbungan berlatarkan tahun 1975,” katanya.
Filem ini mengisahkan dua kakitangan syarikat Maju Jaya, yang dihantar ke Kampung Limbungan untuk mengendalikan rungingan tanah untuk pembinaan empangan hidroelektrik.
Selain enggan melepaskan tanah mereka, penduduk kampung itu juga berdepan ancaman harimau jadian yang menyerang setiap kali berlakunya fenomena gerhana bulan.
Filem ini menelan kos pembikinan mencecah RM1 juta. Menariknya hampir 90 peratus penggambarannya dilakukan dalam studio, bukan dalam hutan sebenar.
“Sebenarnya, penggambaran dalam studio lebih menjimatkan kos berbanding di lokasi sebenar. Tambahan pula, banyak babak hujan dalam filem ini, justeru ia lebih mudah dilakukan dalam studio.
“Selain itu, waktu penggambaran juga menjadi lebih singkat. Contoh mula penggambaran 8 malam, tamat pukul 2 pagi keesokannya.
“Mudah kata, dalam studio, semua tersedia, dari segi pengcahayaan dan kamera. Pelakon hanya perlu fokus lakonan sahaja,” kongsinya.
Limbungan: Tragedi Hitam 1975 bakal ditayangkan di 70 pawagam seluruh negara bermula 6 Februari depan.
GANDINGAN NAMA HEBAT
Ketika skrip filem ini disiapkan, pengarah sudah membayangkan dua pelakon hebat, Kodi Rasheed dan Amerul Affendi sebagai pelakon utamanya.
Hasrat pengarah tercapai apabila keduanya bersetuju untuk bergandingan. Maka, penonton bakal menyaksikan buat pertama kalinya gabungan dua nama besar ini dalam filem.
Berkongsi cerita, Kodi memaklumkan, penggambaran filem ini, yang hampir sepenuhnya dilakukan dalam sebuah studio berlokasi di Bangi, memberikan pengalaman baharu kepadanya.
“Terus terang, pada awalnya saya agak skeptikal kerana kami berlakon bukan dalam set penggambaran filem, sebaliknya dalam studio.
“Kemudian pengarah bawa kami melawat studio untuk dapatkan ‘feel’ lakonan sebelum penggambaran bermula. Ketika itu setnya belum siap sepenuhnya.
“Memang mencabar, bukan mudah untuk berlakon dalam studio kerana ia bukan lokasi hutan sebenar. Sebab itu, berlakon filem ini kena banyak berimaginasi,” katanya.
Seperti Kodi, Amerul juga kagum dengan hasil dan kualiti filem ini sehinggakan beliau melabelkan Limbungan: Tragedi Hitam 1975 sebagai penanda aras filem kesan khas (VFX) di Malaysia.
“Ini pengalaman pertama saya berlakon dalam set penggambaran yang hampir sepenuhnya di dalam studio.
“Pada awal, memang khuatir dan kurang yakin. Shot yang sama dilakukan berulang, kru penggambaran pun tidak ramai.
“Tapi kemudian saya jadi kagum apabila berpeluang melihat sendiri hasilnya. Filem ini bagus dari segi skrip dan kesan khas dan penggambaran sepenuhnya mengikut story board.
“Limbungan: Tragedi Hitam 1975 membuktikan pembikin mampu hasilkan filem yang bagus dalam studio jika lengkap pengalaman, kemahiran, ilmu dan terknikal,” kongsinya.