PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini melancarkan Kiosk Sentuhan Madani pertama, iaitu inisiatif terbaharu bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.
Kiosk itu dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis peluncuran ringkas di di pusat beli-belah Alamanda di sini.
Kiosk itu menghimpunkan lebih 90 perkhidmatan kerajaan yang disediakan melalui enam kiosk agensi dan syarikat berlainan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan MyDigital ID.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia adalah satu inisiatif yang baik kerana pelbagai perkhidmatan dirangkumkan pada kiosk itu.
“Ini yang pertama dan saya difahamkan set kedua kiosk akan dipasang di KL Sentral, Kuala Lumpur.
“Saya juga difahamkan kos bagi melaksanakan kiosk ini tidak terlalu tinggi dan lokasi di pusat beli-belah amat sesuai untuk diletakkan kiosk ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran itu.
Penyediaan kiosk berkenaan adalah satu inisiatif di bawah Belanjawan 2025 dan diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri.
Anwar sebelum ini berkata, Ikhtiar Kiosk Sentuhan Madani dilaksanakan dengan menghimpun pelbagai kios perkhidmatan kerajaan di kawasan 38 tumpuan seperti di pusat beli-belah supaya rakyat boleh berurusan dengan kerajaan di luar waktu pejabat. – UTUSAN