Kilang roti salah guna logo halal diserbu 

Kilang roti salah guna logo halal diserbu 

Kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara diserbu dalam operasi beersepadu KPDN bersama Jakim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara diserbu dalam operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selepas didapati menyalah guna logo halal.  

Serbuan pada 10 Januari lalu itu dilakukan hasil aduan diterima pihak Jakim termasuk video tular di TikTok berhubung logo halal yang meragukan pada produk roti sandwic dijual di beberapa pasar raya terkemuka di Selangor dan Kuala Lumpur.  

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pemeriksaan mendapati kilang terbabit tidak memiliki kelulusan halal yang sah daripada Jakim. 

Kata beliau, logo halal yang digunakan didapati tamat tempoh pada 15 Oktober 2023 dan ia diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang telah menjual perniagaannya kepada pemilik kilang tersebut.  

“Hasil serbuan, kami telah menyita pelbagai jenis roti sandwic, sebuah komputer, mesin pencetak, serta dokumen perniagaan berkaitan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk “ham and cheese sandwich” tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Mengulas lanjut, Azman berkata, kes kini disiasat di bawah Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 dan Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.  

Jelas beliau, jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berikutnya. 

“Individu pula boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Isu seperti ini dianggap serius kerana boleh menimbulkan kegusaran terutama dalam kalangan pengguna beragama Islam.  

“Kami juga akan menghantar sampel roti sandwic ini ke Jabatan Kimia untuk memastikan kandungan bahan yang digunakan mematuhi standard halal,” katanya.  

Pada masa sama, pihaknya memberi amaran kepada semua pengusaha produk supaya mematuhi undang-undang halal dan memastikan produk mereka memenuhi standard ditetapkan.  

Pengguna juga dinasihatkan lebih berhati-hati dan menyemak status sijil halal produk di Portal Halal Malaysia di laman sesawang www.halal.gov.my dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan isu halal boleh menyalurkan aduan ke pihaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya