SUNGAI PETANI: Kilang barangan kitar semula yang musnah dalam kebakaran di Taman Ria Jaya, di sini awal pagi tadi telah disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sejak Julai tahun lalu.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan pegawai JAS di lokasi mendapati, premis itu disita dalam operasi yang turut disertai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Katanya, JAS Kedah telah dimaklumkan mengenai kebakaran premis itu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani yang disalurkan menerusi JAS Cawangan Sungai Petani.
“Premis itu disita kerana disyaki menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram buangan e-waste. Kes disiasat mengikut Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34B (1) akta sama,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, premis yang disita tersebut dipercayai telah diceroboh sebelum kejadian berkemungkinan bagi tujuan mendapatkan logam dan barangan lusuh.
“Premis tersebut kemudiannya didapati terbakar pada awal pagi. Satu laporan polis telah dibuat oleh pemilik premis berikutan kejadian tersebut dan pihak JAS Kedah juga membuat laporan polis berkaitan kes pencerobohan, kecurian dan kebakaran itu,” katanya.
Terdahulu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Abdul Fataf Amdan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.35 pagi.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan kemusnahan yang dianggarkan kira-kira 80 peratus, namun tiada mangsa dalam kilang itu ketika kebakaran. – UTUSAN