KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selesai memberikan keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berhubung kenyataannya mengenai dakwaan kewujudan Titah Adendum bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Proses merakam keterangan bermula pada pukul 5.15 petang dan selesai kira-kira pukul 6 petang.
Khairy ketika ditemui pemberita memaklumkan beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Saya telah selesai memberikan keterangan dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM,” katanya di luar studionya di Bukit Damansara, di sini hari ini.
Bagaimanapun, ketika ditanya jumlah soalan yang diajukan sepanjang proses tersebut, Khairy hanya menjawab banyak soalan yang diajukan polis kepadanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati tiga pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman tiba di studio milik Khairy kira-kira pukul 4.40 petang bagi mengambil keterangan beliau.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Razarudin, pihaknya menerima dua laporan pada Jumaat lalu dan satu kertas siasatan dibuka berhubung isu terbabit.
Katanya, pengadu mendakwa ada membaca sebuah portal berita tempatan berhubung kenyataan Khairy yang mendakwa Azalina berkomplot menyorokkan Titah Adendum.