KUALA LANGAT: Kedua ibu bapa kepada bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas dihantar ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berharap tiada sebarang maklumat disembunyikan dan terus diserahkan kepada polis termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Bapa kepada bayi, Allahyarham Khairul Handzalah Sufi, Khairul Azwan Mohamed Daud, 33, berkata siasatan yang dilakukan oleh polis akan menunjukkan kebenaran dan keadilan ke atas kematian anak keduanya yang baharu sebulan di hantar ke taska berkenaan.
“Ada dimaklumkan berkenaan kemudahan keselamatan di taska berkenaan termasuk kesediaan kamera CCTV ketika awal-awal mendaftar anak pertama, Khairul Iskandar Shaqeef. Memang pengusaha taska beritahu yang CCTV berfungsi.
“Jadi, sekarang saya serahkan kepada polis untuk mereka teruskan siasatan. Jadi, sama ada ada atau tidak (rakaman) pada hari kejadian itu yang saya tiada pengetahuan pengetahuan tentang itu,” katanya ketika ditemui, semalam.
Jelasnya, perkara tersebut dirujuk kepada pegawai penyiasat dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan dimaklumkan polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan dimaklumkan sebarang perkembangan terbaharu.
“Mungkin mungkin rakaman itu akan menunjukkan sesuatu, kita serahkan kepada polis untuk menilai,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki dibawa ke klinik dalam keadaan pucat, kebiruan dan tidak bernafas sebelum disahkan meninggal dunia pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, bayi berusia empat bulan berkenaan berada dibawah jagaan pengasuh dari sebuah taska sebelum dibawa ke klinik berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor memaklumkan pihaknya mengarahkan operasi taska terbabit ditutup sejak Isnin lalu selepas dikesan tidak mendapat kebenaran atau kelulusan untuk beroperasi.
Khairul Azwan dan isterinya, Sri Wahyuni Rahman, 28, kemudian berkongsi tidak menyangka akan kehilangan anak bongsu mereka terutama apabila sudah merancang untuk berpindah tidak lama lagi.
“Sehari sebelum kejadian, kami pergi ke rumah baharu di Shah Alam yang masih dalam proses pengubahsuaian dan hampir selesai. Saya dan isteri membayangkan abang dan adik akan bermain dekat satu ruang khas serta di bilik mereka sendiri.
“Kemudian pada sebelah malam, kami keluar makan di restoran. Saya tak sangka itu adalah saat-saat terakhir bersama arwah. Senyuman diberikan adalah selepas saya ‘mengagahnya’ sebelum pergi bekerja pada Jumaat, akhirnya kami melihat arwah terbaring dan tidak lagi memberi sebarang reaksi,” luahnya. – UTUSAN