KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuhraya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM70,000 berhubung Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE), dua tahun lalu.
COO Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (ProLintas), Rostam Shahrif Tami, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Rostam didakwa telah menerima rasuah wang tunai berjumlah RM70,000 daripada Wakil Pegawai Penguasa, Syarikat Satunas Technologies Sdn. Bhd.
Ia bagi memberikan kerja No. 3 bertajuk To Construct End Cap Stressing And Shear Block dan To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing kepada syarikat berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 12 April 2023 di hadapan tempat letak kenderaan sebuah masjid di Jalan Damai, Kampung Datuk Keramat di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta memohon mahkamah mengenakan tiga syarat tambahan terhadap tertuduh.
“Pihak pendakwaan memohon mahkamah memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai,” katanya.
Mendengar permohonan itu, peguambela, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan namun membantah syarat mengganggu saksi dikenakan terhadap anak guamnya.
“Tiada bantahan untuk jaminan dengan syarat tambahan kecuali syarat yang ketiga. Tiada keperluan untuk mahkamah memerintahkan tertuduh supaya tidak menganggu saksi pendakwaan kerana saya percaya anak guam tidak akan berbuat sedemikian,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM60,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 27 Februari hadapan untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, Rostam bakal berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor, hari ini.
Sebelum ini, SPRM dalam kenyataannya memaklumkan telah mendapat izin daripada pihak Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa seorang COO sebuah syarikat konsesi lebuh raya kerana disyaki terlibat rasuah melibatkan dua projek lebuh raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, unsur rasuah itu dikesan melibatkan Projek Penswastaan SUKE bernilai lebih RM1 bilion selain Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (DASH) bernilai RM4.8 bilion.- UTUSAN