SUBANG JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad melancarkan edisi kedua laporan tinjauan ESG tahunannya bertajuk ‘The Path to Sustainable Impact – Sectoral Insights of Malaysian SMEs’ melaporkan peningkatan kesedaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebanyak enam kali ganda dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.
Melalui laporan tersebut, peningkatan berlaku sebanyak enam kali ganda daripada 14 peratus pada tahun 2023 kepada 80 peratus pada tahun ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha Alliance Bank bersama rakan kongsi seperti Monash University Malaysia dan Zurich Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memperkasa PKS ke arah kemajuan kelestarian.
Kata beliau, usaha sebegini amat signifikan memandangkan Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN menjelang 2025 dengan PKS dijangka memainkan peranan besar dalam ekonomi dan agenda ESG di rantau ini.
“PKS adalah tulang belakang ekonomi negara dan langkah tersebut penting bagi memastikan Malaysia mencapai cita-cita ESG iaitu meningkatkan daya tahan perniagaan dan membuka peluang di peringkat tempatan serta global.
“Laporan itu juga mendedahkan 60 peratus PKS kini melaksanakan inisiatif ESG dengan sektor pembuatan (69 peratus) dan pembinaan (60 peratus) mendahului sektor penggunaan. Sebanyak 38 peratus PKS pula melaporkan peningkatan hasil lebih 50 peratus manakala 24 peratus mencatatkan penjimatan kos ketara,” katanya semasa berucap dalam Simposium SME ESG START 2025 di Monash University Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, bank tersebut akan memberi komitmen yang tinggi dalam memperkasa PKS Malaysia melalui pendekatan 3A iaitu Sokongan, Nasihat dan Jawapan.
Katanya, edisi kedua tinjauan ESG tahunan tersebut memberikan pandangan mendalam tentang cabaran sektor, arah aliran baharu dan bidang untuk pertumbuhan serta penambahbaikan.
“Laporan ini menyediakan garis panduan ESG yang jelas dan mudah diakses untuk menyokong PKS selaras dengan usaha Alliance Bank menjadi “The Bank For Life.”
“Penemuan daripada ESG 2.0 juga membantu bank membangunkan penyelesaian efektif yang memenuhi keperluan unik PKS pada setiap peringkat perjalanan kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, Monash bukan sekadar penyedia pengetahuan tetapi juga institusi utama yang memberi faedah ekonomi, sosial dan saintifik kepada komuniti.
Jelasnya, beliau bangga dapat bekerjasama dengan Alliance Bank dalam menerbitkan laporan ESG yang menyediakan pandangan bernilai tentang penggunaan amalan kelestarian dalam kalangan PKS Malaysia.
“Kajian tersebut mendedahkan bahawa PKS sektor pembuatan menunjukkan penggunaan ESG yang lebih mantap berbanding sektor perkhidmatan sekali gus menekankan keperluan dasar khusus mengikut sektor,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara Zurich Malaysia, Junior Cho pula berkata, komitmen Zurich dalam usaha kemampanan adalah dengan menyokong PKS dalam menyediakan alatan yang diperlukan bagi meneliti perkembangan dalam dunia yang dipacu ESG.
“Saya yakin dengan potensi PKS ini akan membawa perubahan positif dan kami akan kekal komited untuk membantu mereka memacu pertumbuhan mampan serta membina masa depan yang lebih cerah,” katanya. – UTUSAN