IPOH: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengenai kesan tekapan bercorak pada baju T dan seluar panjang dipakai pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, pada hari kejadian pelanggaran tidak sepadan dengan tekapan bunga tayar pada Perodua Ativa.
Pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden S. Dasarathan memberitahu, dapatan tersebut diperoleh menerusi analisa forensik kriminalistik oleh Jabatan Kimia ke atas kesan tekapan pada keempat-empat bunga tayar kereta berkenaan.
Malah, kesan tekapan bercorak itu juga didapati tidak sepadan dengan cetakan bunga tayar motosikal yang ditunggang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu.
Bagaimanapun, kesan-kesan lain yang terdapat pada mangsa pelanggaran itu konsisten dengan kesan geseran pada permukaan keras dan kasar.
“Kesan geseran dan koyakan pada baju T, seluar panjang, seluar dalam, topi keledar, beg galas dan kasut (Muhammad Zaharif) adalah konsisten bergeser dengan permukaan yang keras dan kasar,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.
Dasarathan turut berkata, hasil analisis mulanya tidak dapat menentukan sama ada kesan tekapan bercorak pada baju T dan seluar panjang dipakai Muhammad Zaharif adalah kesan tayar atau tidak kerana tiada sampel perbandingan disertakan.
Bagaimanapun katanya, setelah tekapan tayar diambil dan dihantar untuk dianalisa, didapati kesan tekapan bercorak pada pakaian mangsa adalah tidak sepadan dengan kesan tekapan tayar kedua-dua kenderaan terlibat.
Menurut Dasarathan, hasil analisa forensik toksikologi terhadap spesimen darah mangsa dan suspek juga mendapati tiada kewujudan etil alkohol mahupun dadah.
Katanya, hasil analisa forensik kriminalistik terhadap kereta Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif pula mendapati kepingan cat asing daripada motosikal adalah serupa dengan spesimen cat putih daripada kereta.
Tambahnya, palitan bahan asing hitam daripada kereta juga serupa dengan spesimen plastik hitam daripada motosikal selain kepingan bahan asing hitam daripada kereta serupa dengan spesimen getah tayar belakang daripada motosikal.
“Hasil keputusan dan pendapat berdasarkan kerosakan dan penemuan, bahagian belakang motosikal adalah konsisten telah berlanggar dengan bahagian hadapan sebelah kanan kereta,” katanya.