Kes tipu umrah paling banyak diterima Tribunal Tuntutan Pengguna

Kes tipu umrah paling banyak diterima Tribunal Tuntutan Pengguna

ARMIZAN Mohd Ali ketika berucap pada Majlis Perutusan Tuju KPDN 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta mereka yang mengalami kes penipuan umrah agar segera membuat tuntutan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali, berkata, isu tersebut antara paling tinggi diterima Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dari seluruh negara setiap tahun.

“Saya tiada butiran statistik yang lengkap namun ini juga antara kes terbanyak diuruskan tribunal berkenaan sebab jenayah penipuan itu amat serius,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN 2025 di sini hari ini.

Isu penipuan umrah kembali panas sepanjang minggu lepas melibatkan sebuah agensi pengendalian ibadah itu yang dikatakan mencecah kerugian paling besar dalam sejarah.

Berdasarkan maklumat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), tuntutan tebus rugi perkhidmatan tidak lebih RM50,000 dalam masa tiga tahun di bawah TTPM.

Armizan berkata, pihak TTPM bersedia membantu mangsa dan memastikan semua kes tuntutan dapat diselesaikan segera kerana ia membabitkan hak pengguna sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Saya mahu TTPM agar dapat mempercepatkan kes mereka ini dan memberikan mesej jelas bahawa pihak KPDN sendiri tidak berkompromi dengan jenayah tersebut,” katanya.

Motac menerusi data antara 2019 sehingga Mei tahun lepas memaklumkan terdapat 1,549 kes penipuan berkenaan dengan jumlah tuntutan mencecah RM29.58 juta, manakala Polis Diraja Malaysia pula membuka sebanyak 252 kertas siasatan untuk tempoh sama melibatkan kerugian bernilai RM9.81 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya