Kes Ebit Lew: Telefon lewat diserah kepada Cybersecurity untuk analisis

Kes Ebit Lew: Telefon lewat diserah kepada Cybersecurity untuk analisis

EBIT Lew (kiri) diiringi peguamnya semasa tiba di Mahkamah Majistret, Tenom,Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Barang kes iaitu telefon bimbit yang dijadikan barang bukti dalam kes perbicaraan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew lewat diserahkan kepada pihak Cybersecurity Malaysia untuk dianalisis.

Perkara itu didedahkan saksi ke-13, Ketua Jabatan Forensik Digital Cybersecurity Malaysia, Tajul Josalmin Tajul Ariffin semasa menjawab soalan pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ketika peguam bela, Datuk Ram Singh bertanya adakah saksi mengetahui mengapa berlaku kelewatan lebih dua bulan sebelum barang kes yang mengandungi telefon bimbit diserahkan kepada Cybersecurity Malaysia, saksi menyatakan tidak tahu.

Namun, saksi bersetuju dengan soalan peguam bahawa dia hanya menerima barang kes tersebut daripada Pegawai Penyiasat Deputi Superitenden Noor Asyikin Shamsuri pada 27 Oktober 2021 pada pukul 12.22 tengah hari.

Saksi tersebut malah tidak mengetahui bahawa laporan polis berkenaan kes itu dibuat pada pukul 2.54 petang, 7 Ogos 2021.

Bagaimanapun, Tajul Josalmin bersetuju dengan cadangan peguam bahawa bagi mengelakkan barang kes diubah suai, ia sepatutnya dihantar secepat mungkin untuk dianalisis.

Dalam keterangannya, dia juga bersetuju dengan cadangan peguam sekiranya terdapat arahan untuk penghantaran terus kepada Cybersecurity Malaysia. Ia kerana Cybersecurity adalah agensi teknikal berkaitan dengan keselamatan siber.

Katanya lagi, dia mempunyai maklumat berkenaan arahan untuk menghantar barang kes berdasarkan surat permohonan analisis yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat kes dan hanya mengetahui mengenai arahan itu pada 27 Oktober 2021.

Terdahulu semasa menjawab soalan pemeriksaan utama yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, saksi memberitahu mahkamah biarpun dalam kes tersebut bukan beliau yang menjalankan analisis terhadap barang kes namun, sebarang kes yang berkepentingan awam, beliau selaku pengurus operasi ketika itu bertanggungjawab untuk menerima barang kes.

Saksi memberitahu, dia juga menjadi pegawai penerima bagi membolehkan semakan permohonan analisis yang dibuat adalah tepat bagi untuk memastikan analisis dapat dijalankan.

Ebit berdepan berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Rasyidah Murni Adzmi manakala Ebit diwakili peguam Ram Singh, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Timothy Daut dan Kamarudin Mohmad Chinki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya