PUTRAJAYA: Satu kes jangkitan cacar monyet atau Mpox dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu kes pertama direkodkan pada tahun ini.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, kes melibatkan seorang warganegara lelaki berusia 24 tahun itu menjadikan keseluruhan 12 kes direkodkan di negara ini.
Katanya, lelaki itu terlibat dalam aktiviti berisiko dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari.
“Kes baharu itu dilaporkan pada 10 Januari lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes mpox sebanyak 12 kes sejak Julai 2023.
“Sebanyak sembilan kes dilaporkan pada tahun 2023, dua kes pada tahun 2024 dan satu kes bagi tahun ini,” katanya hari ini.
Menurut KKM, kesemua kes yang dilaporkan merupakan clade II.
Jelasnya, pesakit telah mendapatkan rawatan pada 10 Januari lalu dan kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.
“KKM akan terus memantau situasi mpox di dalam dan luar negara, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan rasmi terus daripada saluran yang sahih dengan mengikuti akaun-akaun media sosial KKM,” katanya.
Untuk maklumat lanjut juga, soalan lazim (FAQ) berkenaan mpox boleh dicapai di pautan mpox.moh.gov.my/ms/soalan-lazim. – KOSMO! ONLINE