MELAKA: Kertas siasatan terhadap syarikat lori yang dipercayai menjadi punca kemalangan maut mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat dekat sini, telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, setakat ini belum ada sebarang maklum balas daripada TPR sama ada akan mendakwa syarikat lori dari Johor itu.
“JPJ telah menyerahkan kertas siasatan lengkap dan kita tunggu tindakan selanjutnya daripada TPR untuk mendakwa syarikat terbabit di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Siasatan ke atas pengusaha lori telah dijalankan dan kini kita hanya menunggu apa keputusan TPR selanjutnya berhubung kemalangan yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu Khas JPJ di Batu Berendam di sini, semalam.
Polis mengesahkan bahawa kemalangan maut kira-kira pukul 8.30 malam, 23 Disember lalu melibatkan lima kenderaan dan berpunca daripada tayar lori yang tercabut.
Mangsa yang maut adalah seramai tujuh orang membabitkan seorang pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang kereta Toyota Estima.
Berhubung operasi bersepadu, Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 4,075 kenderaan termasuk motosikal diperiksa yang mana 463 daripadanya dikesan melakukan 275 kesalahan.
“Kesalahan tertinggi yang dikesan adalah tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh membabitkan sebanyak 103 kes, lesen memandu tamat tempoh 68 kes, kesalahan teknikal 48 kes dan lain-lain kesalahan sebanyak 56 kes,” katanya.-UTUSAN