SHAH ALAM : Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi kerjasama Akademi Kepolisan UiTM-PDRM (AKP) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) baru-baru iin menganjurkan Program Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan dan Keselamatan Jalan Raya.
Program tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara UiTM, Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Berhad (VTREC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.
Menurut kenyataan UiTM, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap isu kecurian kenderaan dan keselamatan jalan raya, di samping mempromosikan langkah pencegahan yang proaktif.
Acara berkenaan disertai oleh 250 pelajar UiTM Shah Alam, termasuk pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan badan-badan beruniform lain.
Tetamu kehormat yang hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi,, Koordinator VTREC Mas Tina Abdul Hamid, dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain.
“Inisiatif ini diadakan untuk memberikan pengetahuan mendalam kepada peserta mengenai risiko dan kesan jenayah kecurian kenderaan serta kemalangan jalan raya, selain menggalakkan peranan aktif komuniti dalam mencegah jenayah dan meningkatkan keselamatan, “ ujarnya.
Aktiviti utama program meliputi perbincangan Interaktif dengan VTREC, PDRM, JPJ Selangor, dan agensi berkaitan., Ceramah Pendidikan mengenai risiko dan langkah pencegahan jenayah serta keselamatan jalan raya.
Panduan Tindak Balas Kecemasan bagi menghadapi situasi kecemasan seperti kecurian atau kemalangan., Persembahan Kebudayaan oleh Kor Suksis UiTM Shah Alam dan Reruai Pameran oleh VTREC, JPJ, PDRM, PIAM, AADK, dan Jabatan Bomba.
Katanya, program tersebut menyerlahkan komitmen UiTM, VTREC, PDRM, dan Kor Suksis dalam mewujudkan komuniti yang lebih selamat dan berpengetahuan.
Dengan penglibatan pelbagai pihak, usaha ini diharap dapat memperkukuhkan kesedaran dan tanggungjawab bersama dalam menangani jenayah serta meningkatkan keselamatan di jalan raya.
Pihak penganjur menyeru semua lapisan masyarakat untuk memainkan peranan aktif dalam memastikan persekitaran yang lebih selamat seperti yang ditekankan oleh VTREC.
“Kerjasama seluruh komuniti amat diperlukan untuk mengekang jenayah kecurian kenderaan dan mengurangkan kemalangan jalan raya, demi kebaikan bersama.” ujarnya lagi.
Inisiatif tersebut bukan sahaja menyokong usaha pendidikan keselamatan tetapi menyemai budaya kepatuhan undang-undang dalam kalangan generasi muda, selaras dengan matlamat UiTM sebagai peneraju transformasi masyarakat. – UTUSAN