PETALING JAYA: Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha bersama Kerajaan Jepun itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikatmi milik kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporat dan seluruh rakyat.
“Alhamdulillah atas usaha kerajaan dan Menteri Luar, kita telah dapat kepastian supaya dapat disegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza dan Palestin atas usaha bersama Kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuh dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur.
“Maknanya program Asia Timur untuk Membangunkan Gaza (Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
“Bagi pihak Malaysia, dengan usaha ini dan usaha yang saya percaya bersama dengan rakyat dan kolaborasi dengan sektor swasta, Insya-Allah kita akan mulakan dengan pembinaan sebuah sekolah, sebuah rumah sakit dan sebuah masjid sebagai suatu usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat.
“Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar turut menyeru semua pihak menitipkan doa dan harapan agar Allah SWT terus memberi perlindungan untuk Gaza dan Palestin serta memberkati setiap usaha dan pengorbanan dalam memberikan harapan baharu buat penduduk Palestin.
Pada 19 Januari lalu, gencatan senjata di Tebing Gaza akhirnya dicapai antara negara haram Israel dan pejuang pembebasan Palestin, Hamas selepas kira-kira 15 bulan bermandikan darah serta meragut lebih 46,000 nyawa.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani, menyatakan bahawa perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza. – UTUSAN