KOTA BHARU: Projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di Kelantan terutama berkaitan industri pelancongan diharap dapat disiapkan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia termasuk projek membaik pulih dan menaik taraf Pasar Siti Khadijah yang merupakan pasar ikonik dalam industri pelancongan di negeri ini.
“Idealnya tentulah kita mahu ia disiapkan sebelum TMM2026 tetapi lebih penting adalah kesejahteraan rakyat. Jadi kita akan cuba buat dan siapkan secepat mungkin.
“Ini termasuk pelaksanaan projek baik pulih dan naik taraf Pasar Siti Khadijah yang telah diluluskan peruntukan khas sebanyak RM5.5 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Oktober tahun lalu,” katanya selepas Sesi Perjumpaan Khas Pengerusi Bersama MTPNg Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata, empat projek baik pulih dan naik taraf pasar berkenaan disiapkan pada 9 Disember tahun lalu dengan kos sebanyak RM200,000 bagi setiap projek, manakala tiga projek masih dalam peringkat pelaksanaan.
Menurutnya, ia turut meliputi kerja naik taraf sistem bekalan air serta baik pulih longkang sekeliling, sistem pelongsor dan bumbung pasar kuih.
“Kerja naik taraf tandas komuniti di tingkat tiga pasar juga dibuat dan membaiki bumbung serta kerja-kerja mengecat pada dinding luar dan dalam Tandas Sejahtera.
“Turut berjalan adalah kerja-kerja mengecat semula bangunan pada dinding luar dan dalam pasar serta kerja-kerja membaik pulih longkang, jubin lantai dan jubin tangga dengan kos keseluruhan RM1.5 juta,” katanya.
Katanya, hanya satu projek masih dalam status prapelaksanaan iaitu cadangan kerja-kerja menaik taraf sistem elektrik serta sistem pencegahan kebakaran berjumlah RM2.5 juta yang mana Jabatan Kerja Raya (JKR) masih dalam proses reka bentuk dan perolehan.
“Kerja-kerja baik pulih dan naik taraf dijangka memberi keselesaan kepada seramai 1,330 peniaga dan akan menarik lebih ramai pengunjung serta pelancong kepada Pasar Siti Khadijah,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, Kelantan berjaya menoktahkan jumlah kemiskinan tegar 2023 dalam dua fasa pada tahun lalu bagi merealisasikan aspirasi Perdana Menteri yang disuarakan pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan pada Mei 2024.
“Fasa pertama adalah pada 1 Julai tahun lalu melibatkan seramai 12,280 ketua isi rumah (KIR), manakala fasa kedua adalah pada 31 Disember melibatkan 1,761 KIR,” katanya. – UTUSAN