GEORGE TOWN: Kereta api funikular Bukit Bendera mencatat sejarah tersendiri apabila disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 kereta api funikular paling cantik di dunia oleh majalah pelancongan antarabangsa, Travel + Leisure.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pengiktirafan ini membuktikan daya tarikan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, malah menjadi satu-satunya kenderaan di Malaysia dan Asia Tenggara yang menerima pengiktirafan berkenaan.
Lebih membanggakan, apabila negara sebaris dengan The Peak Tram di Hong Kong iaitu satu-satunya kereta api funikular lain di Asia dalam senarai berkenaan.
“Sembilan lagi kereta api funikular tersenarai dalam kalangan 10 funikular tercantik di dunia oleh majalan berkenaan adalah Stoosbahn di Switzerland, Floibanen di Norway dan The Peak Tram di Hong Kong.
“Turut berada dalam senarai ialah Funicular Gloria, Lisbon Wellington Cable Car di New Zealand, Funicolare Centrale, Naples (Itali), Angels Flight, Los Angeles (AS), Montmartre Funicular, Paris (Perancis) dan Valparaiso Funiculars (Chile),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kereta api funikular Bukit Bendera mula beroperasi pada 1923 dan kini menjadi antara tarikan utama pelancongan ke Pulau Pinang dan dengan binaan landasan sepanjang 1,996 meter, membolehkan pelancong tiba di puncak dalam tempoh hanya lima minit.
“Kereta api funikular Bukit Bendera bukan sahaja simbol warisan Pulau Pinang, malah ia adalah destinasi wajib dikunjungi pelancong tempatan dan antarabangsa, justeru pengiktirafan itu, pastinya akan menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini,” katanya.
Travel + Leisure adalah majalah dikenali kerana kandungan dan visualnya yang berkualiti tinggi dan menjadi rujukan pelancong global merancang perjalanan terbaik mereka. – UTUSAN