KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak makan kerang yang terdampar di Pantai Sura dekat Dungun kerana belum ada laporan sahih berhubung tahap keselamatannya.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, sampel kerang itu sudah dihantar ke makmal di Kuantan, Pahang untuk analisis yang lebih terperinci bagi memastikan tiada kandungan biotoksin berbahaya.
“Walaupun tiada lagi laporan kesihatan yang bahaya melibatkan kerang tersebut setakat ini, orang ramai mesti berhati-hati dengan kandungan bakteria yang agak tinggi. Saya berharap orang ramai sabar menunggu keputusan sampel itu untuk memastikan semuanya selamat dimakan,” katanya hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial Pantai Sura di Dungun diserbu orang ramai yang mengutip kerang terdampar, susulan fenomena ombak besar yang melanda Terengganu ketika ini. – UTUSAN