Kerajaan selesaikan isu tanah ICQS baharu Hulu Perak - Utusan Malaysia

Kerajaan selesaikan isu tanah ICQS baharu Hulu Perak

SHAMSUL Anuar Nasarah menandatangani plak sebagai merasmikan kuaters Balai Polis Lenggong hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyelesaikan isu berkaitan tanah untuk membina baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu, Perak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu sedang diselesaikan bersama Kerajaan Negeri setelah hasrat pembinaan baharu tersebut timbul sejak pertengahan 2023.

Beliau melihat kepentingan pembinaan ICQS baharu tersebut memandangkan pintu sempadan negara akan sibuk susulan lapangan terbang di Betong, Thailand dinaik taraf menjadi status antarabangsa.

“Sudah tentu jika ada lapangan terbang antarabangsa yang berdekatan, mereka tidak pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sudah tentu ICQS ini sangat penting kerana kedudukan ICQS sedia ada sangat jauh. Ada sedikit isu tanah yang perlu kita selesaikan,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyerahan bot pondok polis Kampung Beng dan penyerahan kunci kuaters Balai Polis Lenggong di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman dan pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat.

Cadangan pembinaan baharu bangunan ICQS timbul memandangkan prasarana sedia ada agak jauh iaitu lebih kurang 700 meter dari pintu sempadan antarabangsa sekali gus mendedahkan kepada masalah pencerobohan dan risiko keluar masuk negara.

Shamsul Anuar turut berkata, hasrat untuk menaiktaraf Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu juga telah dipersetujui.

“Ini kerana IPD Pengkalan Hulu adalah satu-satunya IPD di negeri Perak yang berhampiran dengan pintu sempadan negara,” katanya.

Jelasnya, meskipun daerah Hulu Perak yang merangkumi Pengkalan Hulu, Gerik dan Lenggong kecil dari segi jumlah penduduk, namun daerah itu lebih besar berbanding Perlis selain bakal menikmati limpahan kesan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Betong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya