BALING: Kebakaran 10 rumah di DUN Kupang pada 24 Disember 2024 hingga 12 Januari lalu, mengakibatkan kerugian berjumlah RM791,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbang bantuan termasuk pembinaan rumah baharu kepada mangsa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang itu yang dipercayai akibat perbuatan khianat.
“Ada rumah yang musnah keseluruhan dan Pejabat Daerah Baling telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk sumbangan kepada mangsa-mangsa.
“Sekarang sudah bulan Rejab dan tak lama lagi akan tiba Ramadan dan selepas itu Syawal, saya bersama Exco akan pertimbang dalam mesyuarat akan datang untuk kita bantu khususnya rumah-rumah yang musnah habis semua,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah di sini, hari ini.
Katanya, mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal kini menumpang di rumah saudara-mara mereka.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa dan berharap mereka bersabar menghadapi dugaan ini. Insya-Allah kerajaan akan ikhtiar untuk ringan beban mereka.
“Tak tahu kenapa jadi begitu. Tak tahulah ilmu apa, macam-macam dunia ni. Tuntut ilmu apa pi duk cucuh (bakar) rumah orang. Itu orang tidak mengaji dan tidak menuntut ilmu. Orang yang menuntut ilmu tak buat orang,” katanya.
Beliau berkata, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang juga sudah mengaktifkan pos kawalan di kampung-kampung untuk membantu pihak berkuasa mengekang perbuatan khianat itu.
Tambah beliau, pihaknya akan mendapatkan perkembangan dan maklumat lanjut tentang kes itu daripada pihak polis selain berharap suspek ditangkap secepat mungkin bagi mengelak lebih banyak kejadian berulang.
Polis sebelum ini mengesahkan kebakaran membabitkan 10 rumah di daerah ini sejak 24 Disember tahun lalu disyaki mempunyai unsur khianat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati ia hanya kebakaran biasa, namun siasatan lanjut bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati ia mempunyai unsur khianat.-UTUSAN