PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Madani sentiasa memudah cara dan mencari kaedah terbaik serta pantas dalam menyelesaikan mana-mana masalah yang dihadapi pelabur.
Perdana Menteri berkata, perkara itu dinyatakan semasa beliau menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Micron Technology Inc. (Micron), Datuk Sanjay Mehrotra.
“Kami telah bertukar pandangan mengenai keperluan-keperluan utama dalam pembangunan industri semikonduktor di Malaysia.
“Turut disentuh adalah kepentingan pembangunan bakat tempatan serta faktor-faktor yang menyumbang kepada kelancaran operasi kilang-kilang berteknologi tinggi di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Micron merupakan sebuah syarikat teknologi terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat dan diiktiraf sebagai peneraju dalam penyelesaian memori inovatif yang mengubah cara dunia menggunakan maklumat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan strategik dalam ekosistem semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) global.
Katanya, untuk memperkukuh daya tarikan negara dalam pelbagai sektor ekonomi, kerajaan sedang giat melaksanakan usaha-usaha seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.
Dalam hantaran berasingan, Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah menerima kunjungan hormat delegasi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) yang diketuai Presidennya, Datuk Mohammad Sahar Mat Din.-UTUSAN