JOHOR BAHRU: Inisiatif perkhidmatan ubat melalui pos (UMP) secara percuma oleh Kerajaan Johor melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan diteruskan sehingga hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, inisiatif itu mendapat sambutan menggalakkan sejak ia dilancarkan tahun lalu dengan merekodkan lebih 12,000 bungkusan ubat dihantar pada bulan lalu.
Katanya, inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri itu mendapat kerjasama Pos Malaysia untuk menghantar bungkusan ubat terus kepada pesakit yang layak di rumah mereka tanpa perlu hadir ke kaunter farmasi.
“Inisiatif ini kita sudah mula lebih awal pada 2022 namun pada ketika itu pesakit perlu membayar kos penghantaran. Dalam usaha untuk menggalakkan perkhidmatan itu, kerajaan negeri umum peruntukan RM900,000 bagi membolehkan inisiatif UMP berjalan secara percuma.
“Bermula 1 Ogos tahun lalu, jumlah penghantaran ubat ini meningkat daripada 9,000 bungkusan sebulan kepada 12,220 bungkusan sebulan pada Disember lalu,” katanya ketika ditemui di Lotus Bukit Indah, di sini hari ini.
Terdahulu, Tian Soon mengiringi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan Walkabout Pelancaran Projek Locker4U 2025 & Inisiatif Perkhidmatan UMP di pasar raya tersebut.
Tian Soon berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan perkhidmatan UMP sehingga hujung tahun ini setelah mendapati berlaku trend peningkatan penggunaannya.
Katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1 juta bagi meneruskan inisiatif ini seperti diumumkan dalam Bajet 2025 dan mereka yang layak digalakkan menyertai program ini. – UTUSAN