Kerajaan harus segera labur dalam kepolisan moden - Ahmad Zahid

Kerajaan harus segera labur dalam kepolisan moden – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kiri) melihat model kapal terbang di reruai pameran selepas Majlis Peluncuran dan Perasmian AiSSE'25 di PICC, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan harus melabur dalam bidang kepolisan moden selaras usaha meningkatkan aspek pencegahan dan penguatkuasaan di kawasan berisiko jenayah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, aspek kepolisan moden secara dasarnya memanfaatkan perkembangan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, sebagai contoh, Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asia (AseanaPol) kini menggunakan acuan dan peralatan terkini yang diintegrasikan untuk bekerja secara automatik.

“Saya yakin kepolisan moden tidak lagi harus meramaikan ‘omnipresence’ (kehadiran di mana-mana) anggota sama ada beruniform atau tidak beruniform di lokasi tertentu, sebaliknya lebih kepada peralatan.

“Justeru, kerajaan harus bertindak segera ke arah itu dalam memacu aspek pencegahan dan penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan The Asia International Security Summit and Expo 2025 (AiSSE 2025) di sini, hari ini.

Katanya, beliau difahamkan sudah ada negara-negara maju yang memanfaatkan penggunaan sistem rakaman litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi yang dipasang setiap 50 meter di lokasi-lokasi sensitif serta berisiko.

Ahmad Zahid berkata, biarpun keyakinan terus diletakkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AseanaPol namun, penjenayah juga telah meningkatkan keupayaan mereka terutama dalam jenayah siber.

Justeru, katanya, PDRM juga harus meningkatkan penguatkuasaan serta melebihi kemampuan berbanding dengan penjenayah sama ada dalam bentuk jenayah terancang, individu dan pasukan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya