PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan diskaun 50 peratus bagi kadar tol biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu diambil selepas Kabinet sebulat suara meneruskan bantuan tol bagi musim perayaan seperti sebelumnya.
Katanya, pelaksanaan berlangsung selama dua hari bermula 27 Januari (Isnin) pada pukul 12.01 malam sehingga 28 Januari (Selasa), 11.59 malam.
“Keputusan memberikan diskaun adalah bagi kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara.
“Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN