IPOH: Kerja keras sedang dilakukan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek MyDigital ID yang mengalami kelewatan sehingga mengundang kemarahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo mengakui terdapat sedikit cabaran dalam pelaksanaan tersebut terutama ia melibatkan pelbagai kementerian.
“Kita sedang mengusahakannya, ini adalah sesuatu yang kita fokuskan. Kita buat yang terbaik untuk menyelesaikannya secepat mungkin.
“Mesyuarat 4IR seterusnya ialah pada 12 Februari depan. Kita sekarang sedang bekerja keras untuk hal ini,” katanya selepas merasmikan Jelajah Malaysia Digital@Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang perkembangan terkini pelaksanaan dua projek transformasi digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.
Pada awal Disember lalu, Anwar kecewa serta marah terhadap kelewatan dua projek tersebut semasa Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang diadakan, namun kemudian memohon maaf kepada mereka yang menyertai mesyuarat itu termasuk rakan-rakan menteri.
Inisiatif MyDigital ID diumumkan oleh Anwar pada November 2023, namun selepas setahun difahamkan MyDigital ID hanya mencatatkan lebih 1.2 juta pengguna berdaftar.
MyDigital ID diiktiraf di peringkat nasional sebagai satu bentuk pengurusan pengenalan digital, dengan menyediakan pengesahan selamat untuk transaksi dalam talian serta menangani kelemahan sistem yang sedia ada.
Mengenai Jelajah Digital Malaysia yang dianjurkan oleh kementeriannya, Gobind mengharapkan langkah itu dapat mengenalpasti cabaran serta masalah para usahawan untuk menerima pakai sistem pendigitalan. – UTUSAN