SUBANG JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengadakan mesyuarat susulan pada minggu hadapan bersama beberapa kementerian lain bagi membangunkan industri perlombongan unsur nadir bumi (REE) secara menyeluruh.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mesyuarat itu penting untuk memastikan industri REE berkembang dengan mampan dan mematuhi prinsip kelestarian, selain memberi manfaat besar kepada ekonomi negara.
Kata beliau, mineral berada di bawah bidang kuasa negeri, namun kerajaan akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan industri REE secara menyeluruh.
“Minggu depan, saya akan mengadakan mesyuarat susulan bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, MITI dan MOSTI untuk membangunkan industri REE ini secara menyeluruh.
“SOP kerangka itu pun telah kita siapkan dan semua negeri telah dimaklumkan. Ada negeri yang telah melancarkan SOP tersebut di peringkat negeri manakala ada yang sedang menyesuaikan mengikut keperluan negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Simposium SME ESG START 2025 di Monash University Malaysia, hari ini.
Pada 24 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan polisi menyekat aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan kekal (HSK) perlu dihapuskan sekiranya negara berhasrat untuk meneroka REE yang berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selagi polisi tersebut berkuat kuasa, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan mineral itu tidak akan dapat digubal.
Menurut beliau, ketiadaan SOP yang seterusnya menghalang pengeluaran lesen melombong (ML) itu amat merugikan kerana bahan itu mendapat permintaan tinggi khususnya dalam pembuatan bateri untuk kenderaan elektrik (EV).
“Saya sudah cadang dalam mesyuarat Majlis Mineral Negara, tahun lalu supaya dihapuskan sahaja polisi nombor 12 iaitu tidak menyokong sebarang usaha perlombongan dalam HSK, ini kerana kebanyakkan galian mineral itu ada dalam hutan simpan.
“Bila permohonan menjelajah (REE) selesai, kita tidak boleh nak keluarkan lesen perlombongan kerana perlu dilakukan kajian impak alam sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu.
“EIA pula sudah tentu tidak akan lulus kerana polisi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam adalah tidak menyokong sebarang perlombongan dalam hutan simpan, maka kita terpaksa tunggu langkah mereka untuk menyegerakan proses ini,” katanya. – UTUSAN