KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 14 April ini untuk keputusan ganti rugi yang perlu dibayar oleh Badan Peguam dan tiga yang lain terhadap peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat berhubung taksiran ganti rugi dalam kes saman fitnah oleh Muhammad Shafee.
Terdahulu, peguam Andrew Chiew yang mewakili Badan Peguam menghujahkan, Muhammad Shafee tidak mengalami sebarang kerosakan pada reputasinya yang membolehkannya beliau mendapat ganti rugi RM2 juta.
“Tiada bukti kerosakan reputasi yang memberi kesan kepada pendapatan dikemukakan dan apabila tiada bukti seperti itu, ia tidak boleh digunakan untuk menyokong tuntutan RM2 juta,”ujar Chiew.
Sementara itu, Muhammad Shafee yang mewakili dirinya memberitahu keterangan yang diberikan sewaktu perbicaraan kes saman itu telah cukup untuk menyokong dakwaan kerosakan reputasinya.
Pada pada Mac 2015, Muhammad Shafee telah memfailkan saman tersebut dengan menamakan Majlis Peguam, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V.C. George sebagai defendan.
Muhammad Shafee mendakwa pada 28 Februari 2015, Tommy yang disokong oleh George telah menerbitkan dan menyerahkan usul untuk dibincangkan di AGM Majlis Peguam pada 14 Mac 2015.
Usul itu berhubung peranan Muhammad Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan mendakwa beliau (Muhammad Shafee) telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.
Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.
Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan Muhammad Shafee terhadap responden. Mahkamah Rayuan pada 11 Oktober 2018, menolak rayuan Muhammad Shafee dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Pada 19 Ogos 2020, Muhammad Shafee beroleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman fitnah tersebut.
Pada 20 Oktober 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Muhammad Shafee dan memerintahkan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.-UTUSAN