KEMAMAN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menangguhkan prosiding hukuman ke atas peniaga kedai mainan yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 148 laras senjata tiruan, awal Januari lalu.
Penangguhan sehingga 12 Februari depan itu diputuskan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin ke atas tertuduh, Wan Muhammad Faezyl Wan Mansor, 31, untuk pengesahan lanjut laporan pakar berkenaan senjata tiruan berkenaan.
Terdahulu, pada Khamis lalu, Sharifah Amirda Shasha menetapkan hari ini sebagai tarikh jatuh hukuman selepas tertuduh mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki sembilan laras senjata palsu tiruan yang berada di premis perniagaannya di Bandar Baru Kijal, di sini. Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 5 Januari lalu kira-kira pukul 2.30 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 iaitu memiliki dan mengimport senjata tiruan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum hingga satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa mengikut seksyen sama kerana didapati memiliki 139 laras senjata tiruan. Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada tarikh yang sama, kira-kira pukul 3.45 petang di kediamannya, di Kerteh. – UTUSAN