Kepuasan menikmati durian di Duriotourism
KUALA KANGSAR : Kegilaan penduduk majoriti rakyat Malaysia terhadap Raja Buah ini menjadikan musim durian dinanti nanti saban tahun.
Bagaimanapun pun bagi mendapatkan buah yang berkualiti yang diperoleh daripada dusun penduduk kampung agak mencabar.
Bagi mengatasi masalah tersebut,
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mewujudkan konsep pelancongan tani memanfaatkan durian sebagai daya penarik dengan menubuhkan Taman Agro Teknologi Malaysia (TATM) di Kuala Kangsar Perak yang dinamakan Duriotourism.
Duriotourism memberi peluang kepada pencinta buah tersebut menikmati keenakan durian sepuas-puasnya pusat tersebut berdasarkan konsep pelancongan.
Taman berkenaan merupakan pusat agropelancongan MARDI yang kelima termasuk Taman Agroteknologi di Cameron Highlands dan Cherating, Pahang; Langkawi, Kedah dan Tapak Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), Selangor.
Duriotourism yang terletak di dalam kawasan MARDI Kuala Kangsar, Perak merupakan taman agropelancongan berkonsepkan ‘kampung dusun’ yang membolehkan pelancong menikmati suasana kampung di dalam dusun buah-buahan.
Menurut Pengurus Stesen MARDI Kuala Kangsar, Mohammad Ammaruddin Mohamed Amin, stesen yang mula dibangunkan pada tahun 1974 dengan keluasan 39.50 hektar itu pada asalnya merupakan sebuah pusat pengeluaran dan pemprosesan buah-buahan.
“Tanaman utama di stesen ini sudah semestinya durian dengan keluasan 22 hektar.
Dengan koleksi serta kualiti buah yang dihasilkan, stesen ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai salah sebuah tarikan pelancongan agrotourism di negeri Perak ,” katanya ketika ditemui di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.
Menurutnya lagi, terdapat lebih daripada 20 koleksi durian pelbagai klon yang menjadi tarikan utama pelancong antaranya Musang King (D197), IO (D168), D24, D2, MDUR (D188), MDUR79 (D189), MDUR88 (D190) serta koleksi klon tempatan.
“Apa yang menarik mengenai taman agropelancongan ini, dengan bayaran masuk sebanyak RM50 pengunjung akan dibawa menaiki trem untuk mengelilingi dusun buah-buahan tempatan seperti manggis, mesta, rambutan dan pomelo.
Duriotrourim yang berkonsepkan Dusun Village menjadi tumpuan pelancong kebanyakannya pengunjung tempatan setiap kali musim durian.
Selain menikmati buah segar , pengunjung juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman mengait buah-buahan tersebut secara tradisional serta dapat mengenali perbezaan antara buah manggis dan mesta.
“Istimewa lagi, setelah penat mengait buah-buahan, pengunjung akan dibawa ke Perhentian 1 dan disajikan dengan pelbagai buah-buahan tempatan dan makanan yang berasaskan durian seperti pulut durian, serawa durian dan dodol,” ujarnya.
Katanya, Durioutourism turut menawarkan produk yang unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri apabila kemahiran saintifik dan teknologi yang dimiliki MARDI ditonjolkan dalam produk berkenaan.
Produk-produk berkenaan merupakan tarikan paling istimewa, antaranya adalah Durio Tour, Durio Chalet, Friends of Durio, Durio Museum, Durio Product dan Durio Festival.
“Sejak Duriotourism dibuka beberapa bulan yang lalu, taman agropelancongan ini telah dikunjungi hampir puluhan ribu pengunjung dengan purata pengunjung seramai 150 orang sehari,” katanya.
Dalam pada itu Mohammad Ammaruddin memberitahu, durian frozen merupakan salah satu produk utama Duriotourism yang bertujuan untuk meningkatkan jangka hanyat rasa buah,kerana buah durian mempunyai jangka hayat yang sangat pendek selepas gugur, selain itu, kerosakan pada buah durian biasanya tidak merosakkan Isi durian secara keseluruhan.
“Oleh itu kami mengambil isi durian yang masih sedap dan segar untuk dijadikan produk hiliran, maka secara tidak langsung kaedah ini dapat meningkatkan pendapatan kepada penjual, “ ujarnya.
Setakat ini, penghasilan yang paling tinggi dalam rekod kami pada musim 1/2024 , dapat menghasilkan 5,000 durian frozen dalam musim tersebut
Pakej Duriotoursm
*Harga tiket dewasa – RM50
*Kanak-kanak (7-12 tahun) – RM18
*Buah durian segar : RM25.00/kilogram
* Durian pack (frozen) 500g – RM22
* Tempoyak 500g – RM12.50
* Buah limau bali – RM5.00/kilogram (stok terhad)
* Cenderahati :
*Rantai kunci n – RM8
*Fridge magnet – RM8
Bagi mereka yang ingin membuat tempahan sila layari Facebook MARDI Kuala kangsar.-UTUSAN